Wujudkah Sihir Pemisah & Bagaimana Melawannya
Sihir pemisah adalah sihir yang digunakan bertujuan untuk memisahkan diantara pasangan suami dan isteri. Walaupun mungkin digunakan atas alasan-alasan yang lain, tetapi fokus utama sihir ini ialah memisahkan suami isteri.
Dalil yang membenarkan wujudnya sihir pemisah ini ialah:
“Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui”. (Surah al-Baqarah ayat 102)
Manakala dalil dari hadis Nabi s.a.w pula:
Dari Jabir r.a. berkata: Rasulullullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengirim pasukannya. Serendah-rendah mereka adalah yang paling besar dalam melakukan godaan/gangguan. Seorang dari mereka berkata, “Aku telah melakukan perkara ini dan itu”, maka berkata Iblis, “Kamu tidak melakukan apa-apa”, Kemudian seorang lagi datang dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (manusia) sehingga aku pisahkan antara suami dan isterinya”, Iblis berkata, “Ya, kamulah (yang betul hebat)”. – RiwayatMuslim
Berdasarkan dua dalil di atas, jelaslah bahawa sihir pemisah ini sememangnya wujud sejak dari zaman dahulu lagi.
Tanda-Tanda Terkena Sihir Pemisah
Dari pengalaman saya seperti yang diceritakan oleh mangsa sihir pemisah ini, tanda-tanda pasangan suami isteri yang terkena sihir pemisah ialah:
- Membalikkan keadaan secara tiba-tiba iaitu dari sayang dan cinta kepada benci.
- Timbul rasa benci yang bersangatan tanpa sebab yang jelas samada dari pihak suami atau isteri, ataupun kedua-duanya sekali.
- Banyak berlaku selisih faham yang membawa kepada pertengkaran di mana kadang-kadang tak tahu apa sebabnya atau disebabkan perkara yang remeh temeh. Dan kadang-kadang anak-anak menjadi penyebab berlakunya ketegangan rumahtangga.
- Timbulnya rasa was-was syaitan di dalam hati isteri terhadap suaminya. Contohnya timbul rasa takut dalam hati isteri kalau-kalau suaminya ingin menyakiti dan mencederakannya.
- Membalikkan atau menampakkan wajah suami atau isteri kepada sebaliknya. Contohnya suami melihat wajah isterinya sangat buruk padahal sebelum ini wajah isterinya dipandang cantik. Begitu juga siisteri melihat wajah suaminya seakan-akan bengis dan menakutkan.
- Kebencian kedua belah pihak yang disihir ke atas tempat yang didiami. Contohnya apabila sisuami berada di rumah isteri akan merasa tertekan dan kepanasan. Tetapi apabila suami tiada bersama di rumah, hati isteri tadi menjadi tenang.
Sebenarnya jika nak ditulis semua tanda-tandanya terlalu banyak. Kesimpulannya apabila satu-satu pasangan itu terkena sihir pemisah ini, perubahan sikapnya akan berlaku secara mendadak. Ini adalah satu tanda yang paling mudah untuk dikesan.
Cara Sihir Pemisah Dihantar & Medium Yang Digunakan
Antara medium yang digunakan untuk menjayakan sihir ini adalah menggunakan barang-barang yang berkaitan dengan mangsa seperti gambar atau pakaian, air atau minyak yang telah dijampi dan dicalitkan kepada mangsa atau diletakkan di laluan lokasi mangsa selalu kunjungi. Juga boleh dimasukkan ke dalam makanan yang mangsa terkadang-kala tidak menyedarinya.
Sebenarnya apa yang digunakan diatas hanya lah hiasan luar yang digunakan oleh pengamal sihir untuk mengaburi mata pelanggan-pelanggan mereka. Pengamal sihir ini sebenarnya menggunakan jin-jin dalam simpanan atau belaan meraka sebagai pengantara ilmu sihir mereka. Apabila pengamal sihir tersebut mahu menghantar sihir kepada seseorang, pengamal sihir ini sebenarnya menghantar jin-jin yang telah membuat ikatan taat setia kepada pengamal sihir tersebut. Maka, jin-jin yang dihantar itu memasuki tubuh badan si mangsa dan mereka inilah yang melakukan kerosakan-kerosakan dalam badan manusia. Jin-jin tersebut akan mempengaruhi pemikiran, emosi dan nafsu manusia untuk melakukan perkara-perkara yang dihendaki oleh pengamal sihir tadi.
Rawatan Untuk Sihir Pemisah
Yang paling penting untuk kita lakukan dalam melawan sihir ini adalah usaha menjauhkan diri dari bahaya sihir itu sendiri sebelum terjadi. Cara yang paling penting dan bermanfaat ialah penjagaan dengan melakukan dzikir yang disyari’atkan, membaca do’a dan ta’awwudz sesuai dengan tuntunan Rasulullah ‘Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Nabi mengajarkan kepada Ibnu Abbas: “Wahai anak, jagalah Allah (selalu ingat Allah dalam hatimu), tentu Allah akan menjagamu…” (Hadist Sohih riwayat Imam Turmudzi)
Selain di atas, antara ayat-ayat al-Quran yang boleh dijadikan amalan untuk melawan sihir pemisah ini ialah seperti di bawah:
- Surah Al-Baqarah ayat 165 hingga 186, baca 3 kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah s.w.t.
- Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159, baca 3 kali selapas solat Subuh atau siang hari dan mohon doa kepada Allah s.w.t
Kesimpulan
Ancaman sihir yang berlaku saban hari ini bukanlah suatu metafora atau omongan kosong semata-mata. Ianya adalah realiti yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat kita di luar sana. Selagi ada rasa dendam, dengki dan iri hati, selagi itulah iblis serta bala tenteranya akan terus berusaha menjerumus manusia kepada perkara-perkara yang terkeluar dari landasan syariat Islam. Tiada jalan lain untuk menangani masalah sihir yang dihadapi selain dari mendekatkan diri kita kepada Allah. Firman-Nya yang bermaksud;
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu)” – Surah At-Taghaabun Ayat 11\
Dirikanlah solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam beribadah kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan serta menangkis segala hasad dengki manusia dan tipu daya iblis laknatullah. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan doa-doa hamba-Nya.
Komentar
Posting Komentar